Kami ingin berkongsi sedikit panduan keselamatan jalan raya
yang boleh diambil perhatian oleh pengguna jalan raya:
Pertama, Rancang Perjalanan Anda
Periksa kenderaan anda – pastikan tayar dalam keadaan baik.
Pastikan tekanan angina sentiasa mencukupi termasuklah pada tayar ganti. Jangan
sekali-kali kita gunakan tayar yang bunganya sudah haus atau pun botak. Selain
tayar, brek dan lampu isyarat juga haruslah dipastikan berfungsi dengan baik.
Jika anda dalam keadaan letih, mengantuk atau pun dibawah
pengaruh ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk. Pastikan anda
mendapatkan rehat yang secukupnya terutama sebelum memulakan perjalanan yang
panjang. Sekiranya tidak, eloklah ditangguhkan dahulu perjalanan anda.
Kedua, Sentiasa Patuhi Had Laju Yang Telah Ditetapkan
Jangan memandu melebihi had laju dan perlahankan kenderaan
sekiranya memandu di dalam cuaca hujan kerana jalan yang basah dan licin bolehmelambatkan
kereta untuk berhenti jika membrek. Jangan mengekori kenderaan lain pada jarak
yang dekat kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.
Untuk meningkatkan kebolehlihatan semasa memandu di dalam
hujan, pasangkan lampu kenderaan dan bukannya lampu kecemasan.
Ketiga, Patuhi Peraturan Keselamatan Semasa Menukar
Lorong
Berikan isyarat dan periksa cermin sisi dan cermin pandang
belakang sebelum melakukan pertukaran lorong. Sebaik-baiknya cermin sisi
dilaraskan 90’ untuk mengecilkan titik buta agar kenderaan di sekitar dapat
dilihat dengan lebih lama.
Keempat, Patuhi Peraturan Jalan Raya Di Persimpangan
Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di persimpangan dengan
berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan
kepada pejalan kaki. Apabila lampu isyarat bertukar hijau pastikan keadaan
laluan selamat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan.
Kelima, jangan memotong kenderaan lain jika kita berasa
teragak-agak.
Patuhi garis panduan keselamatan semasa memotong; jangan
memotong sekiranya anda berada di atas jambatan, di selekoh, di kawasan
bukit atau pun di persimpangan jalan. Perlu juga diingatkan bahawa jangan
memotong barisan sekiranya berlaku kesesakan semasa memandu dan jangan
sekali-kali menggunakan lorong kecemasan.
Selain daripada itu, diharap supaya pengguna-pengguna jalan
raya yang menaiki kereta tidak memandang ringan kepada pemakaian tali keledar
depan dan belakang. Pemakaian tali keledar ini adalah bertujuan untuk
meningkatkan tahap keselamatan jika berlakunya kemalangan.
Perlu diingatkan bahawa apabila penumpang belakang tidak memakai tali keledar
dan berlakunya perlanggaran pada kelajuan biasa 50 hingga 60km sejam sekali
pun, penumpang belakang akan terhumban ke hadapan dengan kekuatan 40 kali
daripada berat badannya. Justeru itu, penumpang belakang yang tidak memakai
tali keledar boleh menjadi punca kecederaan parah atau kematian pemandu atau
penumpang di hadapan.
Ibu bapa pula pastikan anak-anak anda juga menggunakan tali keledar. Bagi
anak-anak yang berumur bawah 12 tahun sediakan tempat duduk keselamatan
kanak-kanak yang diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.
Bagi golongan penunggang dan pembonceng motosikal pula, adalah dinasihatkan
supaya anda sentiasa menggunakan jaket keselamatan yang berwarna cerah serta
dilengkapi dengan bahan pemantul cahaya bagi menambahkan kebolehlihatan
(visibility) anda kepada pengguna-pengguna lain di jalan raya terutama pada
waktu malam.
Pakai topi keledar dan ikatlah dengan kemas bagi melindungi anda dari
kecederaan di bahagian kepala. Jika penggunaan topi keledar dengan betul
dapat dibudayakan sebagai amalan harian bagi setiap perjalanan oleh semua
penunggang dan pembonceng motosikal pasti kes cedera parah dan maut bagi
golongan yang paling terdedah kepada risiko kemalangan ini akan dapat
dikurangkan.
Akhir kata, pesanan daripada kami, Pandu Selamat, Tunggang Selamat dan
Jalan Dengan Selamat. Anda Mampu Mengubahnya.